KUALA LUMPUR 9 Nov. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyembah ampun perkenan Majlis Raja-Raja Melayu supaya membincangkan dan mengambil berat kenyataan kontroversi Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar yang dilihat sebagai ancaman terhadap Islam.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, kenyataan Nurul Izzah berhubung kebebasan agama dalam kalangan orang Melayu merupakan ancaman terhadap kesucian Islam dan perkara seperti itu juga bukan pertama kali dilakukan pemimpin pembangkang.
Saya yakin dan percaya, Nurul Izzah membuat kenyataan itu dengan penuh kesedaran dan tidak tersilap.
Oleh itu, Perkasa ingin menyembah ampun perkenan Majlis Raja-Raja Melayu yang sedang bermesyuarat sekarang ini membincangkan dan mengambil berat kenyataan Nurul Izzah tersebut," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri forum Kebebasan Bertukar Agama dari Sudut Islam dan Perlembagaan Persekutuan anjuran pertubuhan itu di Dewan Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, di sini semalam.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Datuk Fuad Hassan.
Dalam pada itu, Ibrahim turut menempelak Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkefly Ahmad yang mendakwa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah diberikan maklumat tidak benar berhubung kenyataan Nurul Izzah.
Beliau berkata, kenyataan Dzulkefly itu merupakan penghinaan kepada Sultan Selangor kerana seolah-olah memperlekehkan kewibawaan dan keupayaan Tuanku mendapat maklumat daripada penasihatnya.
Pada pendapat saya, apabila Sultan Selangor mengeluarkan titah, sudah tentu baginda mempunyai maklumat yang cukup, malah lebih daripada cukup.
Maklumat-maklumat itu pasti diperoleh daripada penasihat undang-undang, pihak keselamatan, para ulama dan anggota agama Islam," katanya - UM
No comments:
Post a Comment