Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar dilihat cuba mengelak daripada menyatakan pendirian berhubung kenyataannya mengenai kebebasan beragama sepatutnya terpakai sama rata dan bukannya hanya kepada orang bukan Melayu dalam satu forum di Subang Jaya baru-baru ini.
Malah, beliau yang ditemui pemberita selepas memberikan penjelasan berhubung isu berkenaan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sini hari ini turut mengelakkan diri daripada menjawab tentang kekecewaan seorang ahli Majlis Peguam, Siti Zabedah Kassim yang mendakwa Nurul Izzah tidak mempertahankan kenyataan beliau bahawa hak kebebasan beragama perlu dipakai sama rata termasuk orang Melayu.
Nurul Izzah yang ditemani oleh peguamnya, Fadlina Sidek sebelum itu mengadakan pertemuan dengan Pengarah JAIS, Datuk Marzuki Hussin bersama tiga lagi pegawai Bahagian Penguatkuasaan agensi agama itu selama kira-kira 30 minit.
Beliau berkata, pihaknya telah memberikan penjelasan mengenai perkara sebenar kepada JAIS selain mengemukakan transkrip ucapannya semasa forum berkenaan dan keratan akhbar termasuk Utusan Malaysia.
'
'Saya datang berjumpa dengan Pengarah JAIS dan menceritakan perkara sebenar kepada Datuk Marzuki dan alhamdulillah JAIS memberikan kerjasama yang baik.
''Saya pergi bersama peguam saya, Fadlina Sidek dan setakat itulah kenyataan hari ini," katanya kepada pemberita selepas memberikan penjelasan kepada JAIS kira-kira pukul 11.30 pagi di pejabat JAIS di sini hari ini.
Isu mengenai kenyataan Nurul Izzah yang mengundang pelbagai reaksi sebelum ini dilaporkan oleh portal berita propembangkang, selain beberapa blog mengenai ucapan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu dalam forum yang membincangkan topik Negara Islam: Versi Mana, Siapa Bertanggungjawab? baru-baru ini.
Laporan itu kemudian dipetik oleh akhbar-akhbar termasuk Utusan Malaysia antara lain Nurul Izzah dilaporkan berkata; ''Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam agama... mengapa sesetengah orang rasa bersalah, perkara ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, sepatutnya diguna pakai secara sama rata."
S
edutan rakaman ucapannya itu kemudian disiarkan oleh sebuah stesen televisyen dengan memaparkan para peserta dan ahli panel forum tersebut termasuk yang bukan Islam dilihat bertepuk tangan apabila Nurul Izzah mengatakan perkara tersebut.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut dilaporkan terkejut dengan kenyataan Nurul Izzah itu melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Dalam pada itu, Fadlina berkata, setakat ini, mereka hanya membuat apa yang patut bagi menjelaskan perkara sebenar.
'
'Kita akan beri kerjasama dari semasa ke semasa, bergantung kepada aduan dan penjelasan yang kita buat, itu penting. Kita bukan serah diri tetapi beri aduan dan penjelasan," katanya.
Tambah beliau, tindakan saman terhadap akhbar Utusan Malaysia, Berita Harian dan beberapa blog yang menyiarkan tentang laporan berhubung kenyataan Nurul Izzah itu akan tetap diteruskan.
Dalam pada itu, usaha mendapat penjelasan lanjut daripada Marzuki mengenai penjelasan Nurul Izzah itu gagal apabila beliau hanya mengeluar kenyataan satu perenggan mengesahkan kehadiran pemimpin kanan PKR itu ke pejabat JAIS.
''
Beliau hadir memberikan penjelasan berkaitan isu yang berbangkit," katanya ringkas - UM
No comments:
Post a Comment